Putera hantar 1,000 ahli bantu kempen
Oleh Nurul Farina Nazlan dan Siti Sofiah Ahmad Mazlan
KUALA LUMPUR: Putera Umno akan menghantar 1,000 ahlinya berkempen di Kuala Terengganu bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan. Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata jentera Putera akan berada di Kuala Terengganu selama 11 hari bermula 4 Januari ini bagi membantu mengatur program kempen Pemuda bahagian. "Banyak pengalaman yang kita kutip di Parlimen berkenaan pada pilihan raya lalu yang mana ia boleh dijadikan senjata menghadapi serangan emosi dan psikologi daripada pembangkang.
"Jentera BN harus fokus dalam menyedarkan pengundi bahawa kita mampu untuk terus menerajui Parlimen itu, malah BN banyak membawa kemajuan dan perubahan di kawasan terbabit sejak memenanginya pada pilihan raya lalu," katanya selepas Majlis Bantuan Persekolahan dan Penyampaian Sijil Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 anjuran Persatuan India Muslim (Imam) di sini, semalam.
Azeez berkata, pihaknya akan melaksanakan skim peluang kedua kepada belia di kawasan itu serta cuba menyedarkan mereka mengenai keperitan yang dirasai oleh masyarakat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR). Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses penamaan calon 6 Januari ini dan pengundian pada 17 Januari depan.
Tuesday, January 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment